Kipas-susah-mati

Die to know?? Kindly click by yourself. Thanks.

Wednesday, March 3, 2010

KISAH PALING SERAM - GENGBLOGGER.COM

Aku seorang yang amat penakut. Memang sangat-sangat. Sesiapa yang mengajak aku menonton cerita mahupun video seram pasti aku tolak mentah-mentah. Aku tidak kisah jika hendak menonton cerita thriller tapi semestinya bukan seram. Pernah waktu kecil dulu, abang aku mengusikku dengan hantu susu yang akan datang ketika hujan dan sampai sekarang aku takut berseorangan ketika hujan. Pernah juga ketika semester pertama dahulu, ketiga-tiga room mates ku ingin menonton video jin merasuk pelajar dan aku sanggup keluar dari bilik semata-mata tidak mahu terlibat menonton video tersebut.

Sebelum aku menjejaki universiti, aku mengisi masa dengan bekerja sambilan di sebuah kilang di Sg.Way. Ketika itu aku dan seorang rakanku, As menyewa sebuah bilik di salah sebuah flat di Bandar Sunway. Rumah itu dimiliki sepasang suami isteri. Si suami sentiasa bekerja di luar dan jarang berada di rumah, manakala si isteri merupakan seorang warga Indonesia, tidak bekerja dan berusia dalam lingkungan 50-an serta kelihatan warak.

Bilik yang ku sewa itu berada di tingkat 11, iaitu tingkat yang paling atas sekali di flat itu. Memang letih kalau mahu naik menggunakan tangga lebih-lebih lagi kalau lif rosak. Tapi atas desakan keadaan pada ketika itu, kami terus bersetuju untuk menyewa bilik tersebut.

Pada suatu hari, abang angkat kami, Abang N yang tinggal di blok bersebelahan datang berkunjung ke rumah tersebut untuk menjenguk kami. Entah bagaimana, tuan rumah terbuka cerita tentang kejadian seorang gadis india mati membunuh diri betul-betul dihadapan rumah itu. Ketika itu perasaan ngeri memang sudah menyelubungi diri, namun kerana sudah membayar sewa, kami hanya diamkan sahaja. Lagipun sudah beberapa hari kami tinggal disitu dan tiada perkara-perkara aneh atau ganjil yang berlaku. Jadi kami meneruskan kehidupan kami di rumah itu.

Sehinggalah suatu hari...

Rumah kami dikunjungi seorang rakan sekilang kami, yang aku namakan sebagai Kak Bee (bukan nama sebenar). Dia mahu menumpang bilik kami untuk beberapa malam sebelum memperolehi rumah sewa. Kami yang sememangnya agak rapat dengannya amat berbesar hati dengan kehadirannya. Kak Bee tiba dengan membawa sedikit barang peribadinya. Petang esoknya pula Kak Bee keluar untuk mengambil beberapa barangnya yang tertinggal di rumah sewanya ditemani dengan seorang lelaki yang aku agak sebagai teman lelakinya.

Kak Bee tiba di rumah agak lewat. Lebih kurang pukul 11malam. Ketika itu aku dan As baru selesai solat Isyak dan sedang bersiap-siap untuk tidur. Kak Bee dan As tidur di atas katil bersaiz queen, manakala aku tidur di lantai beralaskan toto. Aku tidak sedar bila atau bagaimana, ada sesusuk tubuh yang berambut panjang menutupi seluruh wajahnya, memakai baju putih yang berupa jubah menghampiriku perlahan-lahan. Semakin lama semakin dekat sehinggakan wajahnya yang ditutupi rambut berada betul-betul dihadapanku.



Dan...



Tiba-tiba rambutnya terkuak ke belakang menampakkan matanya yang merah menyala dan rupanya yang kotor, berbulu dan menampakkan urat-urat. Serentak itu mataku terbuka luas. Peluh merecik di seluruh tubuhku. Nafasku turun naik, bulu romaku meremang secara tiba-tiba. Serentak itu juga kedengaran anjing menyalak sahut menyahut. Jam di handphone ku kerling sekali imbas. Lebih kurang pukul 2pagi. Aku menyangka aku hanya bermimpi. Mimpi yang seolah-olah realiti.

Aku cuba untuk melelapkan mata. Namun amat sukar sekali. Di fikiranku masih terbayang-bayang wajah ngeri itu. Aku melihat Kak Bee dan As tidur dengan nyenyaknya di atas katil. Di luar masih kedengaran salakan anjing sahut menyahut. Aku yang ketakutan cuba menyelit di tepi As dan tidur menghadap tingkap. Aku masih cuba melelapkan mata. Langsir tingkap kelihatan berbuai-buai ditiup angin kipas. Entah mengapa mataku tidak lekang dari memerhatikan langsir itu sehingga langsir itu terselak dan.. Astagfirullahalazim.. aku mengucap seraya menoleh ke arah lain. Wajah itu muncul di muka tingkap balkoni.

Aku membaca bermacam-macam surah yang terfikir di dalam kepala aku. Tiba-tiba satu bau menusuk rongga hidungku. Ini bukan ke bau kemenyan dibakar? Aku berbisik di dalam hati. Serentak itu kedengaran suara seorang wanita sedang membaca sesuatu. Pada mulanya kusangkakan tuan rumah membaca Al-Quran namun apabila aku amati, suara itu seolah-olah membaca mantera yang tidak aku fahami tutur bahasanya.

Aku menarik selimut menutupi wajahku. Namun suara dan bau itu semakin kuat. Mulutku pula masih terkumat-kamit membaca surah Al-Ikhlas. Kerana ketakutan yang amat sangat, aku cuba mengejutkan As. Namun As langsung tidak terjaga. Suara anjing menyalak makin lama makin menghilang. Begitu juga dengan bau kemenyan dan suara membaca mantera dan akhirnya aku terlena sehingga waktu subuh.

Selepas solat subuh, aku termenung mengenangkan peristiwa malam itu. As yang kehairanan dengan kelakuanku lantas bertanya padaku. Pada mulanya aku berasa serba salah, namun akhirnya aku menceritakan juga peristiwa malam itu kepada As. As mendengar dengan begitu khusyuk sekali. Ketika aku bercerita kepada As tentang bau kemenyan dan suara membaca mantera, As menyampuk bahawa dia turut terbau dan mendengar benda yang sama pada malam sebelumnya, iaitu pada hari Kak Bee tiba. Begitu juga dengan salakan anjing sahut menyahut. Namun begitu, dia tidak pula melihat kelibat tubuh berpakaian putih.

Aku dan As sama-sama terdiam. Aku mula terbayangkan gadis india yang membunuh diri itu. Namun tiba-tiba Kak Bee muncul.

'Maz, As.. akak da dapat rumah dah. Boyfriend akak carikan. Esok akak pindah..'ujar Kak Bee. Aku dengan As yang masih terpinga-pinga hanya mengangguk.

Malam itu, aku dan As tidur berdua di lantai beralaskan toto. Tiba-tiba badan aku di tepuk berkali-kali oleh seseorang. Aku membuka mata. As rupanya. Kedengaran anjing menyalak bersahut-sahutan. Kemudian bau kemenyan dibakar yang menusuk rongga hidung diiringi bacaan mentera yang sememangnya tidak aku tahu butir bicaranya. Serentak itu atap seolah-olah dicakar sesuatu dan bunyinya sangat kuat. Aku dan As berpelukan. Mulut masing-masing terkumat kamit membaca apa-apa bacaan yang perlu sambil meyembunyikan diri dalam selimut. Tidak lama kemudian bunyi dan bau tersebut hilang dan kami tertidur.

Yang anehnya, 3 hari Kak Bee bermalam di rumah kami, 3 hari aku dan As diganggu oleh salakan anjing, bau kemenyan dan suara membaca mantera. Selepas Kak Bee berpindah, tiada pula kami terjaga malam dan mendengar bunyi atau bau yang pelik-pelik. Aku dan As ada bercerita kepada Kak Bee mengenai peristiwa tersebut dan Kak Bee ada menyatakan yang dia ada melalui jirat cina sebelum ke rumah kami dan ketika itu dia dalam keadaan hadas besar. Ada juga sumber terdekat berpendapat mungkin ada 'sesuatu' yang mengikut Kak Bee memandangkan Kak Bee sendiri bukan seorang yang menitikberatkan solat. Wallahualam.

Tetapi persoalannya kenapa kami yang diganggu?? Dan bukannya Kak Bee??

P/S : Mula-mula nak tulis kisah seram ni tak tahu nak pilih yang mana.. ada la beberapa kisah lain.. Last-last aku pilih yang ni sebab sampai sekarang aku memang takleh nak lupa..Kisah ini adalah untuk contest Kisah Paling Seram Geng Blogger.. Have fun guys!!

7 comments:

  1. Peh boleh tahan gak seram nya..

    ReplyDelete
  2. seram juga.

    Tu jubah UUM tu.. gred bila?

    ReplyDelete
  3. Liyana : seram suam2 kuku jer..

    Mr. kamikaze : bolehla nak takutkan budak2 tadika.. huhu..

    sylber shooter : apa yg euww??

    Lekir : Wah, UUM jugak kah? Grad March 2009..

    ReplyDelete
  4. salam ziarah dari rakan baru GB...
    jalan2 baca cerita seram

    ReplyDelete

Sweet? Sour? Bitter? Spill in here. Thank you!