Kipas-susah-mati

Die to know?? Kindly click by yourself. Thanks.

Friday, February 3, 2012

Antara Malay Girl Fight and English Girl Fight

Semalam, gempar satu Malaysia apabila seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah sekumpulan pelajar perempuan lain. Punca dikatakan angkara komen di dalam Facebook yang mencetuskan perang siber sebelum sekumpulan pelajar tersebut mengambil keputusan untuk membelasah mangsa.

Hari ini pula di Harian Metro, lima suspek dalam kejadian tersebut ketawa ketika dicekup. Boleh rujuk sini ye untuk lebih lanjut. Kalau baca balik jalan cerita ni seolah-olah cerita Girl Fight yang baru je saya tengok Isnin lepas di DIVA (CH 702 ASTRO).

Girl Fight ni mengisahkan seorang pelajar genius, Haley berusia 16 tahun yang melompat ke kelas 17 tahun kerana kebijaksanaannya. Malangnya, di kelas barunya itu, tiada seorang pun yang sudi berkawan atau bercakap dengannya walaupun Haley cuba untuk menyesuaikan dirinya. Terdapat sekumpulan pelajar perempuan yang gila glamour yang selalu membuli dan mengejek kebijaksanaan Haley. Dia rasa amat terasing sehingga suatu hari dia post status di laman web sosialnya mengenai salah seorang pelajar tersebut, Alexa dengan menyatakan bahawa Alexa 'stupid'.

Sehinggalah suatu hari, ketika Haley bekerja part-time disebuah restoran, Alexa meminta bantuan Haley dan kemudian mereka mula berkawan baik. Namun persahabatan tersebut tidak lama apabila salah seorang sahabat Alexa (dalam grup gila glamour tu) menemui status laman sosial Haley yang mengutuk Alexa. Alexa kemudian berasa amat marah, memutuskan perhubungan dan mengugut Haley supaya jangan datang ke rumahnya jika dia tidak mahu dibelasah.

Haley yang kebingungan dengan sikap Alexa secara tiba-tiba tetap berkeras untuk datang kerumah Alexa bagi meminta penjelasan. Malangnya, apabila tiba, beliau diserang secara bertubi-tubi dan tidak berdaya melawan sekumpulan pelajar tersebut. Lebih malang lagi, salah seorang daripada mereka merekod pergaduhan tersebut.

Ibu bapa Haley yang terkejut dengan kejadian tersebut melaporkan kepada pihak polis dan meminta pembelaan bagi pihak Haley setelah menerima video tersebut dari nenek Alexa. Namun, Haley tidak mahu meneruskan kes dan tidak mahu menjadi saksi. Pihak polis menahan kumpulan pelajar terbabit dan mereka seolah-olah tidak terkesan dengan penahanan tersebut, malah melambai ke arah media.

Apabila video pergaduhan tersebut tersebar di media, kumpulan tersebut berasa amat bangga kerana mereka muncul di kaca TV dan media. Malah, sebuah station TV turut mengikat jamin mereka supaya dapat muncul di rancangan mereka.Haley pula semakin tertekan dengan penyebaran videonya yang baginya amat memalukan sehinggakan dia sendiri tidak sanggup untuk menontonnya. Sehinggalah seorang kawan Haley mennyuruhnya supaya menontonnya dan dia sendiri berasa amat marah dan bersetuju untuk menjadi saksi bagi kes tersebut.

Namun Haley tidak bersetuju apabila peguam menyatakan bahawa mereka boleh dihukum penjara seumur hidup kerana bagi Haley, tujuannnya adalah bagi menyedarkan mereka bukan membalas dendam. Bagi Haley, kes ini bermula akibat dendam dan tidak puas hati. Jika dia merasa sebegitu, maka dia tak ada bezanya dengan mereka yang membulinya. Dia tidak mahu melawan bukan kerana dia takut namun kerana dia tidak mahu perbalahan terus berpanjangan.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman kepada Alexa dan kumpulannya yang lebih kepada khidmat masyarakat dan pengawasan patrol selama setahun ke tiga tahun.

Bila tengok cerita ni, mesej yang nak disampaikan tu dapat sampai ke dalam hati saya. Alhamdulillah. Tapi sedih bila baca berita mengenai perkara yang sama yang berlaku di negara kita yang penuh dengan adat sopan dan budaya ketimuran ni.

Harap-harap, tidak akan berlaku lagi la perkara sebegini.

No comments:

Post a Comment

Sweet? Sour? Bitter? Spill in here. Thank you!